Friday, June 5, 2009

Ekspedisi Oseanografi Laut China Selatan 1995




Seperti yang aku nyatakan dalam tulisan aku sebelum ini, aku dan rakan-rakan seperjuangan dalam Sains Samudera, bersama-sama rakan-rakan dari Sains Perikanan Marin telah mengikuti satu ekspedisi oseanografi di Laut China Selatan menggunakan kapal penyelidikan Unipertama V.

Ekspedisi ini merupakan satu latihan praktikal atau 'hands-on activities' bagi kami yang mengambil jurusan Sains Samudera dan Sains Perikanan Marin melalui kursus Kaedah dan Instrumentasi Samudera. Sesungguhnya ekspedisi yang dijalankan pada 16 hingga 18 Ogos 1995 ini memberikan pengalaman yang amat bernilai sekali.

Ekspedisi bermula dari jeti Pangkalan Bekalan Kemaman di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman dan berakhir di Jeti Perikanan Chendering, Kuala Terengganu. Kami dimestikan mengambil sampel untuk kajian kimia, biologi, fizikal dan geologi oseanografi menggunakan peralatan-peralatan penyelidikan oseanografi. Penyampelan pertama dilakukan di lokasi 20 batu nautika ke arah laut dari Teluk Kalong diikuti penyampelan-penyampelan seterusnya di lokasi setiap 20 batu nautika dari lokasi penyampelan pertama. Stesen-stesen penyampelan juga ditetapkan berada pada 20 batu nautika dari pantai Terengganu.

Kami menjalankan penyampelan pada waktu siang dan malam yang melibatkan antaranya penyampelan sampel air laut dan ciri-ciri fizikalnya, penyampelan plankton, penyampelan data arus air, penyampelan bentos, penyampelan sedimen dasar dan beberapa aktiviti yang lain termasuklah menggunakan pukat tunda dan mencandat sotong.

Sesungguhnya pengalaman melihat matahari naik dari horizon dan melihat matahari jatuh pada waktu petang dari atas Unipertama V juga tidak dapat dilupakan.

Kawan-kawan, ada komen atau nak tambah cerita pengalaman kita ni? Dialu-alukan kawan-kawan memberi komen.

No comments:

Post a Comment