Saturday, May 30, 2009

Kajian tahun akhir

Dua hari lepas aku menggeledah stor kat bilik atas rumah sewa aku. Nak cari beberapa buah buku yang aku simpam dalam kotak semasa pindah dari Terengganu tahun lepas. Terjumpalah buku projek tahun akhir aku masa kat UPM Terengganu dulu. 

Projek aku tu dibuat pada tahun 2006/2007. Tajuk projek ialah 'Komposisi Nutrien, Ferum dan Mangan Dalam Air Liang Sedimen Paya Bakau Primer, Kuala Kemaman, Terengganu'. Projek tahun akhir tu diselia oleh dua orang pensyarah yang masih lagi bertugas di kampus tempat aku belajar dulu yang sekarang ni dah jadi Universiti Malaysia Terengganu. Kepada Prof. Madya Dr. Mohd Kamil Bin Abdul Rashid dan Prof. Dr. Noor Azhar Bin Mohd Shazili, terima kasih kerana menjadi penyelia pertama dan kedua kepada projek ini.

Objektif kajian ini ialah untuk:

* menentukan komposisi nutrien dalam air liang sedimen paya bakau.

* menentukan komposisi logam ferum dan mangan dalam air liang sedimen paya bakau.

* membuat perbandingan komposisi di antara stesen dan masa penyampelan terhadap elemen yang dikaji.

Sebenarnya, sampel untuk projek ini aku ambil dari kawasan paya bakau Pulau Sekepeng, di Hutan Simpan Kuala Kemaman, berhadapan dengan pekan Chukai di Kemaman, Terengganu. Selalunya aku pergi ambil sampel dengan penyelia pertama dan beberapa orang lagi. Kami selalunya akan singgah di hotel muslim (kata penyelia pertama aku) yang rupa-rupanya masjid Kuala Kemaman sebelum kami masuk ke hutan paya bakau tersebut. Masjid ini juga menjadi tempat kami membersihkan diri sebelum kami bertolak balik ke UPM Terengganu yang mengambil masa kira-kira 3 jam perjalanan.

Berbalik kepada kisah tentang projek tahun akhir aku, aku hanya dapat masuk ke kawasan paya bakau tersebut ketika air surut kerana aku perlu mendapatkan sedimen paya bakau terutamanya di kawasan alur. Aku selalunya akan mendapatkan sedimen tersebut dari tiga lokasi iaitu di kawasan hilir alur (kawasan bakau hadapan), kawasan tengah alur dan di kawasan hulu alur (kawasan bakau belakang). Dengan menggunakan paip PVC dan penukul kayu, aku mendapatkan sedimen-sedimen tersebut bagi membolehkan aku mendapatkan air liang (pore water) yang terdapat di dalamnya. Enam sampel diambil dari setiap kawasan penyampelan dengan setiap sampel berukuran 30 sm panjang (diambil dari permukaan sedimen). Paip-paip PVC kemudiannya ditutup dan dimasukkan ke dalam bekas berisi ais sebelum dibawa ke makmal untuk kerja-kerja penganalisaan.

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus menjalankan penyampelan, penganalisaan dan penulisan laporan projek, penyelia pertama telah memperakukan laporan projek tersebut telah mengikut format Panduan PSF 499 (Projek dan Seminar) dan PSF 399 (Projek Tahun Akhir), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Kolej (Universiti Putra Malaysia) Terengganu, 1996 bertarikh 4 April 1997. Kelulusan ini membolehkan aku memperolehi ijazah Bacelor Sains (Sains Samudera) kerana projek tahun akhir adalah prasyarat untuk lulus pengajian dan diperuntukkan sebanyak 6 kredit masa pengajian.

Laporan ini boleh diperolehi untuk rujukan dari perpustakaan Universiti Malaysia Terengganu dengan rujukan berikut:

Hashimi, I. 1997. Komposisi nutrien, ferum dan mangan dalam air liang sedimen paya bakau primer, Kuala Kemaman, Terengganu. Laporan Projek, Bacelor Sains (Sains Samudera), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Kolej (Universiti Putra Malaysia) Terengganu. 54 ms.

No comments:

Post a Comment